Insiden Kemiskinan Mutlak Meningkat, Jangan Lupa Yang Masih Bergelut – Zahid

KUALA LUMPUR, 12 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan insiden kemiskinan mutlak meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2020 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding 5.6 peratus pada 2019.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), negara kini dalam peralihan ke fasa endemik yang menyaksikan hampir kesemua aktiviti ekonomi dan sosial di Malaysia telah kembali dibuka sepenuhnya.

“Begitu juga dengan pembukaan semula sempadan negara. Keadaan ini memberi sinar kepada ramai yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Jangan lupa kira-kira 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 telah pun beralih kepada had pendapatan kumpulan B40 setakat akhir tahun lalu.

“Kita percaya sebahagian golongan ini masih lagi bergelut untuk bangkit semula daripada kemusnahan yang amat teruk gara-gara pandemik,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya.

Ujarnya, maka sebagai rakyat Malaysia yang prihatin kita harus terus mengambil berat tentang nasib mereka terutama pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Jika ada yang masih dalam kesempitan dalam kalangan kita, usahakan supaya mereka mendapat bantuan sewajarnya termasuk daripada pihak berwajib.

“Jangan kita abaikan mereka. Peralihan kepada endemik bukan magis yang mampu mengubah kehidupan seseorang dengan sekelip mata.

“Kita bersyukur pengeluaran wang daripada akaun KWSP akan membantu mereka yang masih belum berakhir daripada impak pandemik.”

Bagaimanapun katanya, bagi mereka yang bukan pencarum KWSP pasti masih tercari-cari  mekanisme untuk keluar daripada kepompong kesulitan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.