Waspada Terhadap Dap… Matlamat Tetap Sama Walaupun Cara Berubah – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 5 April – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengingatkan rakyat untuk waspada terhadap Dap biarpun Setiausaha Agung baharunya, Anthony Loke memaklumkan akan ubah cara memimpin.

Ini kerana katanya, walaupun cara berubah namun matlamat Dap tetap sama.

“Landskap politik sudah begitu berbeza, dan Dap memahami perubahan itu. Oleh itu, Dap mesti melakukannya bagi memastikan mereka dapat bertahan dalam keadaan iklim politik yang tidak sama lagi.

“Namun rakyat perlu berwaspada kerana hala tuju dan matlamat Dap tetap sama. Cara sahaja berubah,” ujar beliau dalam kenyataan menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.

Katanya, lihatlah pemimpin Melayu Dap yang menawarkan diri memimpin Dap tetap ditolak, biarpun mereka bercakap Dap adalah parti pelbagai kaum.

“Ini sudah cukup mengambarkan rupa sebenar Dap,” tegasnya lagi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Ahli Parlimen Lenggong.

Terdahulu dilaporkan bahawa Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dilantik sebagai Setiausaha Agung baharu Dap bagi penggal 2022-2025 secara sebulatsuara menerusi pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada Mac lalu.

Pemilihan tersebut juga memperlihatkan bekas Setiausaha Agung, Lim Guan Eng menjadi Pengerusi Kebangsaan menggantikan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.