Salam Ramadan, Manfaatkan Bulan Terbaik Rebut Pahala Berlipat Ganda – Ahmad Zahid

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, DAN SALAM RAMADAN AL-MUBARAK.

BISMILLAHHIRROHMANIRROHIM,

SEGALA PUJI ALLAH SWT SERTA SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD S.A.W.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH S.W.T kita diberi peluang bertemu dengan bulan Ramadan pada tahun ini.

Bulan yang penuh keberkatan yang dijanjikan Rasulullah S.A.W, iaitu apabila sampai bulan Ramadan, pintu-pintu syurga semua dibuka, pintu-pintu neraka pula ditutup dan diikat serta dibelenggu syaitan dan iblis” (Hadith Riwayat al-Bukhari Dan Muslim)

Bulan ini adalah bulan istimewa yang turunnya Al-Quran dan ada padanya malam terbaik di antara seribu malam iaitu malam lailatul qadar.

Kedatangan bulan ramadan kali ini juga memberi kesempatan kepada kita kembali menjalani ibadah puasa dengan situasi normal biasa dan Alhamdulillah inilah hikmah terbesar selepas dua tahun kita menyambut ramadan dalam suasana pandemik covid-19 iaitu Norma Baharu sebelum ini.

Walaubagaimanapun kita sudah beralih dari Peralihan negara dari fasa pandemik ke endemik namun kita perlu sentiasa berusaha dan mematuhi segala arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam bersama berusaha memutuskan rangkaian Covid 19 di negara tercinta kita seterusnya di seluruh dunia.

Alhamdulillah bulan Ramadan tahun ini, Insyaallah kita dapat kembali menunaikan ibadah secara berjemaah seperti solat terawih, menghidupkan majlis ilmu semula di masjid dan surau, ziarah, membersihkan kubur dan majlis tahlil buat ibu bapa yang telah meninggal dunia yang menjadi aktiviti sepanjang bulan Ramadan.

Justeru, jadikanlah bulan Ramadan kali ini juga bulan yang terbaik dalam hidup kita untuk merebut pahala yang berlipat ganda, manfaatkan masa dan mengambil ibrah kehidupan daripadanya.

Perbanyakkanlah amalan membaca Al-Quran, bersolat fardu, sunat tarawih, qiamulail bersama keluarga, mengikuti majlis ilmu secara online, membaca buku, berzikir, berdoa dan bersedekah.

Mari kita menfaatkan sebaik-baiknya bulan yang penuh keberkatan ini agar kelak kita menjadi orang yang benar-benar mendapat kemenangan.

Sesungguhnya Ramadan ini mampu menjadi satu catatan terindah dalam lipatan diari peribadi dan ummah kerana memilih untuk merasai nikmat Ramadan dalam normal biasa ini.

Pada kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak.

 

Presiden UMNO

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi