Buktikan Penggunaan ‘One Off’ KWSP Secara Bijak – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 2 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kesyukuran permohonan untuk pencarum mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah pun dibuka.

Jelasnya, jumlah dibenarkan ‘one-off’ sehingga RM10,000, maka gunakanlah ia untuk manfaat yang terbaik apabila diterima kelak.

“Ayuh rakyat Malaysia kita buktikan bahawa kita adalah masyarakat yang bijak dan berhemah dalam menggunakan wang tersebut.

“Pengeluaran khas maksimum RM10,000 itu bukan sahaja akan dapat membantu rakyat pada waktu-waktu sukar ketika ini.

“Malah membantu merancakkan aliran tunai dalam pasaran sekaligus mengoptimumkan pergerakan ekonomi dalam negara, ” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjelaskan ternyata pengeluaran khas itu tidak akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP bagi 2022 seperti yang didakwa.

Jelasnya lagi, perkara itu diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sehari sebelum permohonan dibuka.

“Berbeza berbanding dakwaan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat iaitu aktiviti pelaburan dalam negara bakal terjejas.

“… dan paling nyata adalah tidak benar pemimpin UMNO menghasut rakyat berkaitan pengeluaran wang KWSP seperti dituduh.

“Gunakan dengan berhemah dan bijaksana dalam merancang perbelanjaan saudara saudari sekalian, ” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.