UMNO Terus Tekad Bawa Suara, Angkat Masalah Masyarakat Untuk Dibantu

KUALA LUMPUR, 1 April – Ketua UMNO bahagian Pagoh, Ismail Mohamad terus bertekad untuk membawa suara rakyat khususnya permasalahan masyarakat setempat dalam usaha membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Atas tekad berkenaan, beliau terus memperjuangkan soal perumahan generasi kedua Felda Maokil, perumahan mampu milik Pekan Lenga serta pembinaan rumah asnaf di Bukit Kepong yang sebelum ini turut disuarakan.

Menurut beliau permasalahan berkenaan sudah pasti akan dapat melegakan mereka yang terlibat setelah ianya menemui jalan penyelesaian nanti.

“Semalam mengadakan pertemuan bersama YDP Majlis Perbandaran Muar, Jamil Hasni Abdullah bagi mendapatkan gambaran sebenar kes pembangunan di DUN Bukit Kepong yang melibatkan rumah generasi Kedua Felda Maokil, perumahan mampu milik Pekan Lenga, serta pembinaan rumah Asnaf di Bukit Kepong.

“Alhamdulillah, terima kasih YDP Majlis Perbandaran Muar atas keprihatinan dan ada beberapa perkara yang telah diselesaikan berkaitan perkara tersebut di peringkat Majlis Perbandaran Muar.

“Terima kasih juga kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang telah memulakan dan memperkenalkan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Peringkat Daerah yang dimulakan di daerah Muar,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Beliau yang merupakan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini seterusnya menambah kerja-kerja untuk masyarakat setempat tidak akan dilupakan biarpun tewas pada PRN negeri berkenaan.

“Saya yakin dan percaya hasil dari permuafakatan ini akan dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan permasalahan rakyat di Parlimen Pagoh. Saya sentiasa bekerja dan akan terus bekerja untuk masyarakat di Parlimen Pagoh,” ujarnya.- UMNO online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.