PRU15: UMNO Perlis Bakal Tampil Calon Muka Baharu

KANGAR, 24 Mac – UMNO Perlis bakal menampilkan kombinasi calon muka baharu terdiri daripada peringkat umur pertengahan dan golongan muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak, kata Pengerusi Perhubungannya Datuk Seri Azlan Man.

Beliau yang juga Menteri Besar Perlis berkata pihaknya sememangnya amat bersetuju bagi menampilkan calon muka baharu mengikut kombinasi peringkat umur berkenaan memandangkan ia penting bagi meneruskan kesinambungan parti itu dari segi pemikiran dan sebagainya.

“Selain itu, calon yang bakal bertanding atas tiket UMNO nanti seharusnya berkelulusan dan mempunyai wawasan, amanah serta ikhlas apabila diberi tanggungjawab sebagai pemimpin kelak.

“Mereka harus berkhidmat untuk rakyat, bukannya atas kepentingan diri sendiri,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata calon berkenaan juga seharusnya mengikut acuan ‘Wali’ iaitu ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima) serta ‘likeable’ (disenangi) sepertimana ditetapkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Azlan berkata melalui perubahan itu, kepimpinan tertinggi parti sememangnya amat peka dengan tuntutan rakyat negara ini dan ingin melihat reformasi berlaku dalam PRU15 nanti.

“Pada PRU14, kami menampilkan 80 peratus calon muka baharu di Padang Besar, begitu juga Arau dan Kangar. Malangnya ada calon muka baharu ini yang tewas dan untuk PRU15 nanti saya berpandangan kami harus kemukakan calon yang berkebolehan dan mempunyai potensi untuk memimpin,” katanya.

Azlan berkata buat masa ini beliau masih belum menetapkan secara khusus calon yang bakal diketengahkan dalam PRU15 nanti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.