Kerjasama Kerajaan & Pembangkang Perlu Dinilai Semula, Tak Perlu Tunggu MoU Matang Julai Ini

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerjasama antara kerajaan dan pembangkang perlu dinilai semula.

Kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, mungkin telah tiba masanya kerajaan bergerak ke hadapan dan tidak perlu lagi menunggu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pembangkang matang pada Julai ini.

Mohamad memberi respon demikian merujuk kepada Sesi Dewan Rakyat petang semalam yang menyaksikan usul kerajaan untuk melanjutkan, antara lain, peruntukan seksyen 4(5) SOSMA 2012 telah gagal diluluskan, berdasarkan kiraan undi majoriti mudah.

“Kegagalan usul ini adalah sesuatu yang tidak dijangka. Ia menunjukkan sikap sambil lewa, bahawa rang undang-undang sepenting ini tidak diuruskan dengan strategik sebelum dibentangkan.

“Ini agaknya, semua beranggapan bahawa sudah wujud persefahaman yang jelas antara kerajaan dan pembangkang dalam hal-hal atau usul-usul yang melibatkan reformasi undang-udang dan dasar khususnya seperti yang dizahirkan dalam Perkara 3 Memorandum Persefahaman antara kerajaan dan pembangkang,” ujarnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.

Jelas Mohamad, semua yang berlaku itu menunjukkan dengan jelas bahawa kerjasama dan persefahaman kerajaan dan pembangkang sebenarnya sangat sukar untuk diuruskan dengan berkesan.

“Adalah tidak keterlaluan untuk mengambil pendirian bahawa persefahaman tersebut sebenarnya telah gagal berfungsi seperti yang diharapkan.

“Kerajaan yang terbentuk, bertahan dan berfungsi menggunakan mekanisme Memorandum Persefahaman sebegini adalah sangat berisiko.

“Apa lagi bila Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah pihak yang tidak boleh dipercayai dan memang dah jadi kebiasan mereka untuk memungkiri janji,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu.

Tambahnya lagi, sesi Parlimen petang semalam terbukti pembangkang tidak teragak-agak untuk melanggar pendirian dan janji mereka.

“Saya percaya, semua ini memberi tamparan hebat kepada kerajaan dan suatu peristiwa yang sangat memalukan.

“Ia secara langsung mewajarkan kerajaan untuk menilai semula kedudukan kerjasamanya dengan PH,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.