Gaji Minima RM1,500 Keputusan Tepat Dan Pada Masa Sesuai – Shahril

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berpandangan kenaikan kadar gaji minimum semasa daripada RM1,200 kepada RM1,500 adalah sesuai pada ketika ini.

Beliau malah membidas kenyataan segelintir pihak yang membantah pelaksanaan had gaji ini kerana dikatakan memberi bebanan kepada majikan kerana kos perbelanjaan syarikat bertambah.

“Kita kena sedar peningkatan gaji minimum tidak bermaksud kos gaji pekerja naik 25 peratus. Sebab dalam sesebuah industri atau syarikat bukan semua orang dibayar gaji sebanyak itu.

“Bermakna bukan kos syarikat semuanya berkenaan perihal ini malah pekerja lain sebagai contoh eksekutif memperoleh gaji yang lebih besar.

“Kemudian bila kita tengok laporan tahunan kebanyakkan syarikat kos pekerja 10 peratus dari total kos syarikat. Jadi kadar itu daripada tujuh hingga lapan peratus kurang satu peratus daripada peningkatan kos disebabkan gaji minimum,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di Facebook.

Malah kata Shahril kenaikan gaji ini tidak melibatkan kesemua majikan malah kerajaan juga memberi kelonggaran kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu juga mendakwa ada pihak yang cuba memainkan sentimen nasionalisme apabila mengatakan bahawa kenaikan had gaji ini akan membawa kepada pengeluaran RM2 bilion dari negara ini.

Jelas beliau ini kerana kononnya pekerja asing akan mendapat faedah daripada pelaksanaan ini dan akan membawa wang tersebut masuk ke negara mereka.

“Soalan asasnya apakah masalah ini? Kenapa ada double standard bila kita minta pelaburan langsung asing (FDI) atau Pelaburan Portfolio Asing (FPI)?

“Kita tidak fikir pula syarikat asing melabur di sini untungnya dibawa keluar tetapi apabila ada kena mengena dengan buruh migran kita mula main sentimen ini,” tegas beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO Sabtu lalu mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara.

Katanya pelaksanaan tersebut adalah bagi mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib