Anggap Sahaja MoU Kerajaan-PH Terbatal – Dr Puad

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata anggap sahaja memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) terbatal.

Dr Puad memberi reaksi demikian merujuk kepada penolakan usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat petang semalam.

Dengan nada sinis, Dr Puad juga mengucapkan terima kasih kepada PH kerana tidak menyokong usul tersebut.

“Terima kasih itu bukan kerana SOSMA tidak penting atau PH berjaya memalukan kerajaan.

“Tetapi berterima kasih kerana PH dedah awal tembelang mereka sebenar. Alasan PH, mereka tidak dirundingi hanya alasan sahaja. Niat sebenar MoU itu dari awal sudah diragui,” katanya dalam satu lontaran di Facebook.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu lagi, semua pihak yang terbabit merangka MoU itu perlu dipertanggungjawabkan.

“Tidak perlu berdolak dalik. Anggap sahaja MoU itu gagal dan terbatal.

“MoU itu tidak ada ‘legal binding’. Ia hanya persefahaman. Daripada terus menyusahkan diri dan rakyat cari segera jalan keluar,” tegasnya.

Justeru katanya, jalan keluar terbaik ialah segerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Untuk rekod, pada 13 Sept tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan PH telah menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.