PM Akan Bincang Dengan Pemimpin ASEAN Jadikan Bahasa Melayu Bahasa Kedua ASEAN

KUALA LUMPUR, 23 – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.

Ismail Sabri berkata selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Jadi tiada sebab kita tidak boleh jadikan Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN. Kita akan selaraskan perkara ini dan saya akan bincang dengan pemimpin negara ASEAN yang memang menggunakan Bahasa Melayu, supaya mereka bersetuju jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

“Selepas itu, kita akan bincang pula dengan pemimpin-pemimpin ASEAN lain yang juga mempunyai penduduk yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di negara mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang ingin tahu adakah kerajaan akan bekerjasama dengan pemimpin negara ASEAN untuk menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat ASEAN.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata pada masa ini hanya empat daripada 10 negara ASEAN yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa, manakala enam negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan.

Ismail Sabri berkata beliau sendiri telah menggunakan Bahasa Melayu semasa lawatan rasminya ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand sebelum ini, dan terbaharu semasa lawatan ke Vietnam dua hari lepas.

“Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa kerana usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Dis lepas.

“Usaha ini akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan, mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala, di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid sama ada kerajaan telah meletakkan pegawai berkemahiran tinggi dalam Bahasa Melayu di luar negara, Ismail Sabri berkata Kementerian Luar akan menyediakan latihan penterjemah kepada pegawai di luar negara.

Ismail Sabri juga mencadangkan pegawai yang mempunyai kemahiran menterjemah dan berupaya membantu negara dalam urusan penterjemahan dalam urusan rasmi kerajaan nanti akan diberikan elaun khusus.

Selain itu beliau berkata Kementerian Luar juga akan mewujudkan Unit Bahasa dan Kebudayaan di setiap pejabat kedutaan negara selain menyediakan kelas Bahasa Melayu untuk pegawai dan anak mereka yang berada di luar negara.

“Kita dapati bahawa sesetengah anak pegawai diplomatik kurang mahir berbahasa Melayu kerana mereka memasuki kelas di sekolah antarabangsa, dan sesetengah pegawai itu tidak pulang ke Malaysia sebaliknya ‘cross posting’ dihantar ke negara lain-lain secara berterusan.

“Ini menyebabkan anak-anak mereka yang belajar bertahun di sekolah antarabangsa tak boleh berbahasa Melayu, jadi kita akan wujudkan kelas ini segera… dan akan diperluas kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip mengenai usaha kerajaan memartabatkan penterjemahan buku di negara ini, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkasa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia supaya lebih proaktif dalam menterjemah buku-buku ke dalam Bahasa Melayu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.