Pembangkang Ingkar MoU, Yang Pasti Kerajaan Tidak Boleh Ditadbir Dengan Ihsan Mereka

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Kerajaan tidak boleh selamanya ditadbir dengan mengharapkan ihsan pembangkang, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, mana mungkin kestabilan politik mampu dicapai jika negara berterusan sebegitu dan mana mungkin keyakinan pelabur mampu diraih jika kerajaan dilihat tidak stabil serta boleh diugut pada bila-bila masa.

Merujuk kepada penolakan usul bagi melanjutkan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat petang tadi, Dr Asyraf berkata secara rasminya pembangkang telah melanggar perjanjian persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021, Perkara 3.3(b) menggariskan bahawa pihak PH (Pakatan Harapan) bersetuju akan “mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dikemuka oleh kerajaan”.

“Ini bermakna PH telah berjanji tidak akan menolak sebarang usul kerajaan dalam Parlimen sekiranya dibentangkan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Justeru tambah Dr Asyraf, dengan penolakan PH terhadap usul yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin petang tadi, maka secara rasminya pihak PH telah mengingkari MOU tersebut.

“Sekaligus membawa kepada persoalan besar sama ada MoU antara kerajaan dengan pembangkang masih terpakai ataupun tidak?” soalnya. – UMNO ONLINE