Koperasi Wanita Malaysia Berhad Dilancar

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Koperasi Wanita Malaysia Berhad (WCB) yang dilancarkan hari ini adalah langkah pertama ke arah mewujudkan sebuah bank koperasi wanita di negara ini dalam tempoh jangka panjang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata pencapaian WCB dalam bidang pinjaman kewangan akan menjadi penentu kepada penubuhan bank koperasi wanita berkenaan.

Beliau berkata WCB ditubuhkan secara rasmi pada bulan lepas menyediakan perkhidmatan mikro kredit yang cepat, mudah dan kompetitif kepada semua usahawan wanita berkelayakan.

“WCB adalah koperasi wanita pertama dilesenkan untuk menjalankan aktiviti Ar Rahnu bagi kaum wanita sahaja dikenali sebagai Ar Rahnita serta menjalankan aktiviti jual beli emas,” katanya ketika berucap melancarkan WCB di Menara Kembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Noh berkata kewujudan koperasi wanita itu juga bukti kerajaan Keluarga Malaysia komited memperkasa golongan wanita di negara ini.

Beliau turut menggalakkan golongan wanita untuk menyertai koperasi memandangkan terdapat koperasi yang membayar dividen lebih tinggi berbanding akaun simpanan.

Sementara itu, Pengerusi WCB Datin Norli Alias berkata lima aktiviti utama WCB ialah makro kredit, Ar Rahnita, jual beli emas, perkhidmatan pembekalan dan program pembangunan usahawan tempatan dan antarabangsa. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.