Vietnam Mahu Malaysia Bekalkan Petroleum RON95, Minat Tingkatkan Kerjasama Industri Halal – PM Ismail Sabri

HANOI, 22 Mac – Malaysia sedia menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat kepada Vietnam, termasuk syarikat-syarikat Vietnam yang menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan industri halal mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama ini telah pun bermula dan dalam hal ini Halal Development Corporation (HDC) Malaysia telah ditugaskan untuk mengambil tindakan susulan.

“Saya secara spesifik membangkitkan potensi kerjasama halal dengan Vietnam terutamanya dalam peluang untuk membekalkan makanan halal semasa Sukan SEA 2021 yang akan dihoskan oleh Vietnam pada bulan Mei ini.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia menawarkan produk-produk perbankan Islam dan akan turut sama membantu mengembangkan ekosistem industri halal di Vietnam,” katanya kepada kumpulan media Malaysia di sini selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari di Vietnam, semalam.

Lawatan rasmi Perdana Menteri dan delegasi Malaysia juga berjaya membawa berita gembira kepada negara selepas Vietnam mengemukakan permintaan untuk mendapatkan bekalan petroleum dan gas tambahan dari Malaysia.

“Alhamdulillah kita mendapat berita yang baik petang semalam sewaktu Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjumpa dengan Menteri Perdagangan Vietnam dan mereka (pihak Vietnam) berminat untuk membeli petroleum atau RON95 daripada kita dengan kadar segera.

“Saya sendiri telefon Presiden Petronas tentang perkara ini dan kita bersetuju pada peringkat permulaan ini untuk membekalkan 300,000 tong petroleum (RON95) kepada Vietnam.

“Ini hanyalah permulaan dan jika perlukan tambahan InsyaAllah kita akan teruskan dan akan mengadakan perbincangan dengan mereka (Vietnam). Kita berharap bukan sahaja petroleum tetapi gas juga dapat dibeli oleh Vietnam,” kata Ismail Sabri.

Mengenai kerjasama perdagangan, Perdana Menteri berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menetapkan sasaran lebih tinggi yang mana sebelum ini, Malaysia-Vietnam menetapkan sasaran nilai dagangan US$18 bilion menjelang 2025.

Bagaimanapun menurut Ismail Sabri, beliau turut berkongsi pandangan bahawa nilai sasaran itu masih kecil berbanding potensi besar yang dimiliki Malaysia dan Vietnam .

Beliau menambah Vietnam merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam ASEAN, dan ke-11 di peringkat global.

“Pada 2021, perdagangan dua hala bernilai US$16.7 bilion, peningkatan memberangsangkan iaitu sebanyak 41.6 peratus berbanding tahun 2020.

“Ini mengambil kira nilai dagangan global Malaysia yang telah melepasi RM2 trilion (US$477 bilion), sementara nilai dagangan global Vietnam hampir mencecah US$650 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata persefahaman telah dicapai supaya Mesyuarat ke-4 Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) diadakan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju tentang sasaran perdagangan dua hala Malaysia-Vietnam selain meneliti hasrat Vietnam untuk mencapai keseimbangan dagangan dengan Malaysia.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut mengambil peluang mempelawa para pelabur Vietnam untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia dalam bidang yang boleh diterokai termasuk pendigitalan, pembuatan pintar dan keselamatan siber.

Katanya Malaysia telah mengadakan kolaborasi strategik di antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan FPT Software Vietnam untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan (CoEFI) bernilai hampir RM100 juta dalam bidang automotif, Connected Mobility, Robotik, Internet Kebendaan (IoT) dan pendigitalan.

“Saya juga menyambut baik dan berterima kasih kepada FPT Software yang amat komited untuk melatih 1,000 tenaga kerja Malaysia dalam pembangunan dan kejuruteraan perisian bermula tahun ini di Kuala Lumpur dan Sabah,” katanya.

Sementara itu, pelaburan Malaysia di Vietnam bernilai US$13 bilion dan Malaysia merupakan pelabur asing kesembilan terbesar di peringkat global dan kedua di peringkat ASEAN. – BERNAMA