Sungguh Ironi… Shafie Apdal Dibidas Hendak Jadi Hero RUU Anti Lompat Parti

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membidas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal yang sekarang ini seolah-olah hendak jadi juara berkaitan cadangan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) antilompat parti.

Shafie dilapor berkata RUU antilompat parti perlu diluluskan secepat mungkin tanpa sebarang ugutan daripada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, Azhari menegaskan bahawa hal ini sungguh ironi sedangkan sebelum ini Shafie adalah antara pihak yang menerima wakil rakyat dari BN melompat ke Warisan.

“Rasanya dia ini dah lupa kot. Tapi Google tak pernah lupa. Mari saya ingatkan…

“Pada 2018 ada enam Ahli Dewan Undangan Negeri BN lompat ke Warisan seterusnya Warisan dapat membentuk Kerajaan Negeri Sabah,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya yang turut menyertakan pautan laporan berita berkaitan.

Tegas Azhari, sekarang ini seolah-olah Shafie hendak menjadi hero dan berkata “mandat rakyat yang diberikan kepada wakil rakyat tidak harus dikhianati dengan melompat parti.”

“Sungguh ironi. Sekarang dia hendak jadi juara RUU antilompat parti. Memang tak Apdal macam ini,” bidasnya lagi.

Dalam pautan yang diberikan, dilaporkan bahawa pada 11 Mei 2018, enam ahli dewan undangan negeri (Adun) BN menyertai parti Warisan Sabah menjadikan parti terbabit memperoleh 35 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus layak membentuk kerajaan.

Terdahulu, Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018, Warisan memenangi 21 kerusi DUN manakala PKR dan Dap masing-masing dua dan enam kerusi.

BN pula menang 29 kerusi DUN dan Parti Solidariti Anak Negeri (Star) menyandang dua kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.