Hutang Negara Benar-benar Cecah RM1 Trilion… PH Tak Mahu Lagi Tuduh Negara Sudah Bankrap? – Najib

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengimbas semula kerajaan di bawah BN dahulu, hutang negara sebanyak RM686.8b dengan nisbah hutang kepada KDNK sekitar 48.7%.

Namun katanya, Pakatan Harapan (PH) ketika itu kata negara sudah bankrap.

“Lalu, PH pun tukar cara kira hutang dengan menambah jaminan kerajaan serta liabiliti jangka masa panjang kerajaan sehingga tahun 2040. (Bayangkan sewa rumah kamu sehingga tahun 2040 diambil kira sebagai hutang kamu) sehingga nilainya cecah RM1 trilion.

“Padahal tiada negara dalam dunia menggunakan kaedah ini untuk mengira hutang.

“Ini sekadar PH mahu tipu rakyat dan kenakan Najib saja,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pekan dalam kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Lepas itu kata Najib, PH gunakan alasan hutang RM1 trilion yang direka cipta mereka untuk jual aset negara yang memberi pulangan baik, menjarah rizab-rizab kerajaan dan Petronas serta mengurangkan bantuan rakyat.

“Namun hari ini, hutang kerajaan benar-benar telah cecah RM1 trilion dengan nisbah hutang sebanyak 63.4% – kenaikan yang amat dashyat sekali dalam tempoh yang begitu pendek.

“Kenaikan melebihi RM320 bilion. PH tak mahu tuduh lagi negara sudah bankrap ke?

Terdahulu, Najib merujuk jumlah hutang terbabit ekoran laporan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah yang memaklumkan bahawa hutang keseluruhan kerajaan sehingga akhir Dis 2021 ialah RM979.8 bilion atau 63.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.