UMNO Sabah Bangkit Hadapi Cabaran, Akur Keputusan Pucuk Pimpinan – Wakil Sabah

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pembahas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, dari Negeri Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata UMNO Sabah menghadapi begitu banyak dugaan dan cabaran selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.

Namun katanya, berkat pertolongan dari kepimpinan tertinggi UMNO maka UMNO Sabah dapat memulakan kehidupan baharu setelah ditinggalkan ketua-ketua UMNO bahagian selepas bertukarnya kerajaan pada 2018.

“Kami ditinggalkan oleh 22 Ketua UMNO Bahagian di Sabah yang lompat ke parti lain. Kami terkapai-kapai, meraba-raba dan mencari-cari tapi kami berterima kasih kepada sahabat-sahabat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terutama sekali Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang membantu kami memulakan kehidupan UMNO yang baharu selepas kalah.

“Kita menghadapi kesusahan. Kita bergolok gadai dan tidak mahu lihat ahli-ahli kita berpecah. Sampai pejabat pendingin hawa serta pemanas air pun diambil malah beg yang ada lambang UMNO pun diambil. Saya lihat mereka ini keliru… buat apa ambil beg UMNO… itu kita punya.

“Sekarang ini saya mohon kepimpinan UMNO terus bersatu. Kalau nak buat keputusan bila pilihan raya, bila pemilihan UMNO… kita serahkan kepada pucuk pimpinan. Kalau baik adanya pilihan raya dulu … ‘yes’ … kami ikut. UMNO Sabah sudah bersiap sedia untuk melawan dan bersiap sedia bagi menghadapi PRU-15,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian sebagai pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan menegaskan bahawa dengan sikap Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang seorang kuat berkerja, maka tentunya siap sedia.

“Kami sudah bersiap sedia dengan panglima kami iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin. Ini adalah panglima kami… memang tidak pandai berhenti bekerja. Kalau berlawan memang beliau berlawan betul.

“Keputusan kami cukup mudah, apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan kami terima dan akur dengan segala arahan dan kami kerja betul-betul,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memohon agar kepimpinan parti membuat keputusan terbaik demi masa depan UMNO.

“Saya harap kepimpinan tertinggi UMNO iaitu yang ‘top five’ membuat keputusan yang terbaik untuk parti kita. Tolong… jika kami ini anak ‘bongsu’ tetapi UMNO Sabah ini banyak menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.

“Kami sanggup bergolok gadai… kenapa tidak pemimpin-pemimpin di atas memutuskan yang terbaik untuk parti kita,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.