Penerangan UMNO Peranan Penting Yakinkan Pengundi, Siap Siaga Semboyan PRU Dibunyikan – Shahril

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menekankan bahawa jentera penerangan memainkan peranan yang sangat penting khususnya untuk meyakinkan pengundi dalam mendepani pilihan raya.

Ujarnya, biarpun selalunya ketua-ketua penerangan adalah mereka yang tak didendang atau tidak diraikan sebagaimana jawatan-jawatan tertinggi yang lain namun tugas dan amanah yang terpikul amat penting.

“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka baru-baru ini, jentera penerangan adalah antara yang paling penting.

“Bukan kita nak menidakkan jentera-jentera yang lain kerana kita tahu Wanita dengan Jalinan Rakyat (JR), jentera Pemuda, jentera Puteri dengan URP tetapi penerangan dan komunikasi adalah antara jentera yang berjaya meyakinkan orang ramai untuk memilih Barisan Nasional (BN) dan menang lebih 2/3,” katanya.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata demikian dalam Majlis Makan Tengahari Bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2021, di sini hari ini.

Shahril yakin bahawa jentera penerangan semua peringkat telah bersedia mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) setelah melalui pengalaman dalam beberapa pilihan raya sebelum ini

“Insya-Allah dalam masa yang akan datang dan bila-bila masa sahaja semboyan PRU dibunyikan maka kita mengharapkan semuanya telah sedia.

“Ini kerana waktu itu kita sudah ada pengalaman berdepan dengan PRN maka kita akan lebih bersedia untuk kawasan masing-masing,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan Wanita, Datuk Norshida Ibrahim; Ketua Penerangan Pemuda, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Penerangan Puteri UMNO, Muzana Mohamad selain ketua-ketua penerangan UMNO Negeri dan bahagian-bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.