Sokongan Akar Umbi Kekuatan UMNO, Parti Politik Terbesar Ahli 3,391,236 – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa sokongan dan dokongan ahli UMNO akar umbi adalah kekuatan parti.

Beliau memaklumkan bahawa jumlah ahli UMNO terkini ialah seramai 3,391,236 orang sementara bilangan cawangan UMNO berjumlah 22,274 cawangan di 191 Bahagian.

“Ini menjadikan UMNO tetap kekal sebagai parti politik yang terbesar dengan bilangan ahli paling ramai di Malaysia.

“Mengikut data pada 15 Mac 2022, bilangan ahli teramai diterajui oleh negeri Sabah, 594,631 ahli, diikuti Johor, 452,642 ahli, Selangor, 426,109 ahli, dan Kedah, 300,564 ahli.

“Bahagian yang mencatat bilangan ahli tertinggi ialah Lahad Datu, 46,849 ahli diikuti, Semporna, 40,849 ahli, Libaran, 39,513 ahli, Gombak, 38,437 ahli dan Baling, 37,249 ahli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan laporan dengan penuh semangat sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad juga berkata bahawa UMNO masih mekar di seantero dunia sebagaimana Kelab-kelab UMNO di seluruh dunia berjumlah 20 buah iaitu lapan buah di United Kingdom, Ireland, dua di Indonesia, tiga di Australia, empat di New Zealand dan dua di Mesir.

“Sebanyak 21 Duta dan Wakil Negara hadir ke Perhimpunan kali ini iaitu United Kingdom, China, Russia, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Jepun, Australia, India, Singapura, Qatar, Arab Saudi, Brazil, Brunei, Indonesia, Iran, New Zealand, Palestin, Pakistan, Vietnam dan Bangladesh.”

Terdahulu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ dengan diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ sebagai tanda bermulanya persidangan.

Perhimpunan kali ini yang disertai 5,571 perwakilan diadakan selama empat hari bermula Rabu dengan perasmian serentak Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Selaras dengan situasi COVID-19, Perhimpunan Agung UMNO 2021 diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk pematuhan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.