Negara Luar Akui UMNO Parti Bertanggungjawab, Berperanan Besar Untuk Kemajuan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Selama lebih 60 tahun UMNO mengemudi negara di bawah gabungan Barisan Nasional (BN), pelbagai kemajuan telah dicapai dengan pentadbiran cemerlang bersilih ganti kepimpinan dari parti keramat ini.

Selama tempoh itu juga, kestabilan politik dicapai berterusan sehingga memberikan impak positif kepada kemajuan negara ini di samping membina hubungan diplomatik dengan negara luar.

Perkara itu diakui Duta Besar Rusia, Naiyl M Latypov yang berpandangan bahawa UMNO selama ini telah memainkan peranan besar membawa negara ke arah kemajuan yang dimiliki ketika ini.

“UMNO adalah kuasa politik yang bertanggungjawab, saya katakan ini kerana parti ini telah membawa Malaysia moden yang kita lihat sekarang.

“Banyak pencapaian besar yang dilakukan UMNO sebelum pandemik ini… mempunyai pertumbuhan ekonomi yang baik, bawa kestabilan dan menjaga rakyat,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, hari ini.

Malah, beliau turut memuji kecemerlangan menteri Kabinet daripada UMNO yang telah menangani krisis pandemik COVID-19 dengan baik.

“Saya boleh katakan menteri UMNO berjaya dengan baik semasa pandemik dan mereka ini merupakan pemimpin daripada parti ini.

“Mengambil peluang ini saya berharap ahli dan parti UMNO akan bekerja lebih baik untuk kepentingan negara dan rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Memberi pandangan yang sama Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon juga berkata kestabilan politik adalah penting untuk sesebuah negara.

“Kestabilan politik adalah mustahak bagi mana-mana negara termasuk Malaysia malah saya turut mendoakan yang terbaik untuk negara ini.

“Saya di sini untuk menyertai Perhimpunan Agung UMNO… doa saya untuk kesemua ahli UMNO yang terbaik dan kejayaan parti ini,” katanya.

Terdahulu 21 wakil kedutaan termasuk Australia, Brazil, Brunai, China, Perancis, Jerman dan Indonesia menghadirkan diri bersempena PAU 2021 yang berlangsung hari ini.

Pagi tadi menyaksikan kibaran bendera ‘Sang Saka Bangsa’ di Plaza Merdeka yang diiringi lagu Wanita, Pergerakan Pemuda dan diikuti Pergerakan Puteri UMNO yang dilakukan oleh ketua masing-masing.

Selesai acara yang penuh simbolik itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyampaikan ucapan dasar PAU 2021 di Dewan Merdeka. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.