KWSP RM10,000: Syukur Desakan UMNO Berjaya – Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Hasil kesungguhan dan usaha secara istiqamah UMNO, akhirnya hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memutuskan untuk membenarkan pengeluaran sekali gus RM10 ribu dari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh mereka yang memerlukan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur syukur kerana akhirnya usaha yang diperjuangkan UMNO untuk pengeluaran KWSP terbabit berhasil.

“Saya sangat bersyukur kerana usaha gigih UMNO ini akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan. Walau pun terdapat pelbagai alasan, kelengahan dan tentangan dari banyak pihak, UMNO tidak berganjak dari perkara yang benar dan bermanfaat.

“Perkara ini membuktikan dengan jelas yang UMNO adalah parti yang mendengar rintihan dan suara akar umbi UMNO. Dan UMNO akan mengusahakan segala yang baik. Lambat atau cepat, semua itu hanyalah proses yang mesti dilalui dengan kesungguhan dan ketegasan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Sehubungan itu beliau memaklumkan bahawa UMNO nekad untuk terus mengusahakan lebih banyak dasar dan inisiatif yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan hidup masyarakat.

“Kerana, inilah UMNO sebenarnya. Sebuah parti yang berdiri atas amal bakti. Sebuah parti yang hidup dengan nadi dan suara rakyat.

“Namun perkara ini juga mengajar kita satu perkara penting. UMNO mesti menjadi parti yang kuat, stabil dan diyakini. Hanya dengan menjadi parti yang besar dan kuat, suara serta desakan UMNO tidak dipandang enteng oleh sesiapa pun yang menjadi kerajaan.

“Insya-Allah semoga perjuangan UMNO istiqamah dan kita akan dapat terus bersama-sama membawa kebaikan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Dilaporkan, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO hari ini membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.