Kerajaan Benar Pengeluaran Khas KWSP RM10,000 – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 16 Mac – Kerajaan hari ini membenarkan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

“Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP,” katanya pada sidang media khas, di sini hari ini.

Bagaimanapun Ismail Sabri merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak, dan berharap mereka membuat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan.

Perdana Menteri berkata penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lepas.

Tiga program pengeluaran khas KWSP itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang diperkenal sebagai langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli dalam menempuh impak pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.