Hasni Arkitek Kebangkitan Johor, Harapan Rakyat Onn Hafiz Teruskan Kegemilangan – Shahril

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Meskipun tidak lagi menjadi Menteri Besar Johor, tiada yang mampu menafikan Datuk’ Hasni Mohammad wajar diiktiraf sebagai arkitek kebangkitan Johor dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) Johor.

Kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan, tentunya bukan calang-calang orang mampu memimpin BN dan UMNO negeri yang terdiri daripada ramai tokoh hebat serta dalam suasana politik mencabar.

“Kami yang berkempen semasa PRN (Pilihan Raya Negeri) menyaksikan secara dekat ketokohan dan keupayaan beliau sebagai seorang pemimpin di mata parti mahupun rakyat.

“Beliau terbukti berjaya mengemudi dan meletakkan Johor pada landasan yang baik walaupun mengharungi pelbagai rintang dalam usaha memacu proses pemulihan pasca COVID-19, sekali gus kembali membangunkan Johor di bawah pentadbiran BN. “Jika satu pintu tertutup, pada saat sama pintu lain dibuka”.

“Semoga ketokohan dan kepemimpinan Datuk Hasni dapat terus dimanfaatkan pada pentas politik negeri dan negara selepas ini,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Shahril juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor Ke-19.

“Sebagai pemimpin muda, tentunya harapan tinggi diletakkan atas bahu beliau untuk meneruskan kegemilangan negeri Johor.

“Mengenali beliau sebelum ini, saya yakin Datuk Onn Hafiz akan dapat menggalas amanah ini dan membuktikan bahawa beliau juga mampu menghadapi cabaran yang mendatang dengan gaya tersendiri ke arah matlamat sama, iaitu mengotakan Ikhtiar BN Johor demi kestabilan masa depan,” ujarnya lagi.

Begitu juga ulas Shahril, Hasni kekal konsisten dengan gayanya yang tenang menerima ketetapan di luar jangkaan beliau dan kepimpinan UMNO.

“Mendukung kedaulatan Raja dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor sudah menjadi sebahagian DNA UMNO apatah lagi di Johor Darul Ta’zim.

“Respon Datuk Hasni yang cukup santun dan terhormat sekali lagi menunjukkan beliau seorang pemimpin hebat yang meletakkan kepentingan negeri dan parti mengatasi peribadi.

“Seperti dalam ucapan beliau sejurus selepas kemenangan BN diumumkan, ‘tiada ideologi politik, tiada parti politik yang lebih penting dari Johor Darul Ta’zim’,” katanya.

Tambah Shahril lagi, dalam tindakan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor itu mutakhir ini, ternyata beliau seorang yang menjiwai semangat kata-kata itu.

Seterusnya, Shahril juga mengucapkan terima kasih kepada Bangsa Johor kerana memilih BN.

“Terima kasih menerima kami datang dari seluruh negeri dan negara untuk berkempen.

“Kini terserah kepada Bangsa Johor dan kepimpinannya yang baharu untuk terus melakar kisah tersohor negeri Johor Darul Ta’zim,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.