Zahid Nafi Calon Presiden KLFA, Tumpu Tanggungjawab Untuk BN/UMNO

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tumpuan beliau pada masa adalah menggalas tanggungjawab sebagai sebaik mungkin.

Terdahulu beliau menafikan laporan media tertentu sebagai calon baharu Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang memenangi Piala Malaysia tahun lalu.

Ujarnya, beliau melaksanakan sejujurnya amanah diberikan oleh akar umbi untuk menggembalikan kegemilangan UMNO dan BN dalam persada politik tanah air.

“Menunaikan secara bersungguh-sungguh kewajipan untuk memastikan kestabilan, kemakmuran, kesejahteraan dan kemajuan dikembalikan di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Jelasnya, beliau tidak berminat untuk terlibat dalam mana-mana persatuan bolasepak biarpun pernah menjadi Presiden PAFA (Perak).

“Maka terpaksalah saya akui suatu ketika dulu skil permainan bola sepak saya hampir menyamai Lionel Messi atau belakang sedikit berbanding Karim Benzema.

“Tetapi itu tidaklah bermakna saya mengidamkan jawatan presiden mana-mana persatuan bola sepak dalam negara sedangkan ada perkara lebih mustahak untuk diutamakan.

“Saya juga pernah terlibat menjulangkan nama pasukan bolasepak ATM & PDRM sewaktu menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri ketika itu,” katanya lagi.

Menurut laporan terdahulu, nama Zahid kini disebut-sebut bakal menjadi Presiden KLFA. Ini kerana Zahid antara salah seorang pemimpin politik yang sentiasa berminat dengan sukan bola sepak tempatan dan beliau dijangka boleh menjadi Presiden KLFA jika diberikan peluang berbakti kepada kelab yang memenangi TM Piala Malaysia yang menyambut ulangtahun ke-100 pada tahun lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.