Onn Hafiz Hargai Pengorbanan Hasni, Sedia Mohon Khidmat Gabung Pengalaman, Tenaga, Idealisme

JOHOR BAHRU, 15 Mac – Menteri Besar Johor yang baharu Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan pengorbanan Datuk Hasni Mohammad memberi ruang kepada orang muda memimpin negeri ini membuktikan betapa besar hati dan jiwa negarawan beliau.

Onn Hafiz, 43, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata pengorbanan Hasni juga menunjukkan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau (Hasni) yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

“Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

Beliau juga memohon semua Bangsa Johor supaya bersatu hati, minda dan tenaga bersamanya untuk terus membangunkan Johor.

“Kepada Bangsa Johor yang disayangi, Insya-Allah, segala janji yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) akan saya usaha untuk ditunaikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Onn Hafiz berkata beliau menerima mandat sebagai Menteri Besar dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan.

Terdahulu, Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini.

Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor itu berlangsung tiga hari selepas kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lepas.

Onn Hafiz dilantik meskipun sebelum ini BN mencadangkan Hasni yang merupakan bekas Menteri Besar sebagai calon bagi mengisi jawatan itu jika BN memenangi PRN Johor.

Semalam, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor mencadangkan supaya pucuk pimpinan parti itu memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan golongan berkenaan yang penting dalam pembangunan negeri.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.