Lagi Tular Surat Palsu Guna Logo UMNO, Nama Zahid
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Hari ini tular dalam media sosial surat yang palsu menyatakan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh yang segera.
Surat bertarikh hari ini yang memaparkan logo UMNO tersebar dalam media sosial dengan ditandatangani oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, berkali-kali surat palsu menggunakan kepala surat UMNO pernah disebarkan yang antaranya adalah kononnya berkaitan kekeliruan calon Ketua Menteri Melaka selain surat palsu mendakwa Zahid telah meletakkan jawatan sebagai Presiden parti dan surat berhubung pelucutan keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada parti.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah menegaskan bahawa sebarang kenyataan berkaitan parti hanya akan dikeluarkan menerusi saluran rasmi atau di dalam saluran media sosialnya terutama di Twitter dan Facebook. – UMNO Online