Kepimpinan Baharu Negeri Akan Buat Johor Lebih Makmur, Sejahtera – Hasni

JOHOR BAHRU, 15 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19 sambil menyatakan tiada apa yang lebih penting dari Johor Darul Takzim.

Beliau yakin kepimpinan baharu negeri Johor di bawah Onn Hafiz, akan membuatkan negeri itu lebih makmur dan sejahtera.

“Seperti yang saya telah nyatakan, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Takzim.

“Kini masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur. Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, Negeri Johor yang kita cintai ini akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” katanya menerusi kenyataan di laman facebook Hasni Mohammad.

Terdahulu, Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini.

Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor itu, berlangsung tiga hari selepas kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lepas.

Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar baharu, meskipun BN sebelum ini mencadangkan Hasni yang merupakan bekas Menteri Besar sebagai calon bagi mengisi jawatan itu jika BN memenangi PRN Johor.

Semalam, Hasni mencadangkan supaya pucuk pimpinan parti itu memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan golongan berkenaan yang penting dalam pembangunan negeri.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.