Tindakan Politik Kepartian? Jalaluddin Kesal, Program ‘Back To School’ Diadakan Di Luar Dewan

JELEBU, 14 Mac – Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias melahirkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku semalam setelah penggunaan dewan untuk program penyampaian bantuan persekolahan para pelajar di kawasan berkenaan terpaksa diadakan di luar dewan.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau meluahkan rasa kecewa kerana program tersebut bukanlah program politik tetapi untuk kepentingan masyarakat setempat.

“Dewan Petaling antara beberapa dewan yang di bina di Jelebu untuk kemudahan orang ramai.

“Malangnya dalam program ‘Back To School’ semalam terpaksa diadakan di luar dewan ekoran kelulusan penggunaan dewan dibatalkan oleh Pegawai Daerah Jelebu pada saat akhir. Pegawai Daerah Jelebu tolong jawab.

“Inikah etika dan prinsip seorang Ketua Daerah… jangan perkotak-katikkan orang Jelebu kerana kepentingan politik,” katanya.

Katanya lagi beliau akan terus bersuara dan akan terus menjaga kebajikan rakyat dan keluarga Jelebu.

Memetik laporan, semalam Datuk Seri Jalaluddin Alias meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan Pegawai Daerah itu yang enggan membenarkan penggunaan dewan serbaguna bagi menyampaikan bantuan persekolahan para pelajar di kawasan berkenaan.

Tegasnya, bantuan itu disalurkan kepada semua pihak yang memerlukan tanpa mengira perbezaan fahaman politik kepartian.

Ujar Jalaluddin, pihaknya telah menghantar surat permohonan untuk menggunakan Dewan Majlis Daerah Jelebu dan ia telah mendapat kelulusan.

“Tetapi disaat-saat akhir iaitu pada semalam, Pejabat Pegawai Daerah memaklumkan bahawa Dewan Majlis Daerah Jelebu tak boleh digunakan dan menyarankan penggunaan Dewan Petaling.

“Saya bersetuju kerana tujuannya hendak memudahkan penerima bantuan kerana ia terletak di kawasan Kuala Klawang dan Taman Cengal.

“Tetapi, jam 10.30 malam, Pejabat Daerah menghantar pesanan kepada saya bahawa Pegawai Daerah tidak membenarkan saya menggunakan dewan ini, tanpa memberikan sebarang alasan,” katanya kepada pemberita.

Sehubungan itu Jalaluddin mempersoalkan apakah tindakan tidak membenarkan penggunaan dewan itu disebabkan kaitan politik kepartian atau sebaliknya.-

Terdahulu, pada Sabtu Barisan Nasional (BN) menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menewaskan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti lain. UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.