“Undi Anda Adalah Masa Depan Kita” – Hasni

JOHOR BAHRU, 12 Mac – “Undi anda adalah masa depan kita.”

Demikian kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad kepada rakyat negeri itu yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Hasni juga menasihati semua pengundi agar menjaga prosedur operasi standard (SOP), kesihatan dan keselamatan diri ketika megundi.

“Kepada rakyat Johor yang dikasihi, Selamat Mengundi!

“Tunaikan tanggungjawab anda demi kestabilan dan kemakmuran Negeri Johor, rumah kita yang dicintai,” kata Menteri Besar Johor itu dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi.

Dalam PRN Johor, BN menawarkan Ikhtiar BN Johor dengan tema Kestabilan Masa Depan yang menampilkan lima teras utama merangkumi kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk orang muda, membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksanakan reformasi politik.

Seterusnya, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Negeri Johor turut mengucapkan selamat bertugas kepada semua petugas yang terlibat bagi kelancaran proses pengundian.

“Selamat bertugas kepada para petugas pilihan raya kali ini,” kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 29 peratus telah keluar mengundi.

Sebanyak 1,021 pusat mengundi dibuka bermula 8 pagi, bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa daripada 2,597,742 pengundi berdaftar yang layak mengundi, menunaikan tanggungjawab mereka.

Bagi proses pengundian hari ini, pusat mengundi yang mempunyai satu atau dua saluran akan ditutup lebih awal seperti yang diwartakan iaitu Balai Raya Pulau Besar di Mersing ditutup pada 11 pagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pemanggil, Mersing pada 1 tengah hari.

Sebanyak 15 pusat mengundi pula akan ditutup pada 2 petang, manakala 41 pusat mengundi ditutup pada 4 petang. Pusat-pusat mengundi lain akan ditutup pada 6 petang. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.