Exco Melaka Bersyukur Janji 100 Hari Berjaya Dilaksanakan 100 Peratus

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka Dr Muhamad Akmal Saleh bersyukur kerana kesemua janji 100 hari Kerajaan Negeri Melaka berjaya dilaksanakan 100 peratus.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menerusi satu hantaran di Facebook, ini pentingnya sebuah kerajaan yang kukuh untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka adalah bukti kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Jadi kepada semua orang Johor, anda bijak memilih, pastikan kerajaan yang dipilih adalah kerajaan yang benar-benar mampu berkhidmat untuk anda,” ujar Naib Ketua Pemuda UMNO negeri itu lagi.

Jumaat lalu, Kerajaan negeri Melaka pimpinan BN, yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 Nov tahun lepas, berjaya menunaikan 58 inisiatif aku janji 100 hari pentadbiran parti itu.

Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ia sekali gus menunjukkan aku janji bertemakan Kestabilan Demi Kemakmuran itu dilunaskan pada tempoh tersebut dengan kadar 100 peratus.

Lima teras yang terkandung di dalam aku janji tersebut adalah Kestabilan Politik, Lonjakan Ekonomi Baharu, Kecekapan Tadbir Urus, Masyarakat Bersatu Padu dan Pembangunan Mapan dan Perkongsian Kemakmuran.

Antara 58 inisiatif yang berjaya dilaksanakan termasuklah peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM100,000 setahun untuk ADUN bukan kerajaan, memperbanyak tempat berniaga dengan infrastruktur asas yang lengkap, mewujudkan insentif sara hidup kepada nelayan, petani dan penternak.

Selain itu, memperluas Digital Melaka, memperkasa tadbir urus yang bersih dan telus, mewujudkan pusat kegiatan belia untuk berkarya dan melakukan aktiviti kesenian, memastikan kawasan penempatan dan kawasan rayau bagi masyarakat Orang Asli terus dipelihara dan menyediakan perkhidmatan bas percuma di kawasan luar bandar kepada golongan memerlukan.

Pada PRN Melaka 20 Nov lalu, BN menang dengan majoriti dua pertiga selepas mendapat 21 kerusi berbanding Pakatan Harapan (lima kerusi) dan Perikatan Nasional (dua kerusi). – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.