Undilah BN… Tolak PH Dan Serpihannya Dari Kumpulan ‘Manifesto Bukan Janji’

JOHOR BAHRU, 11 Mac – “Undilah BN (Barisan Nasional) bukan hanya kerana namanya tetapi paling penting adalah kerana pengalaman dalam pentadbiran.”

Demikian tegas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang menggesa pengundi untuk mengingat kembali bahawa Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Muda, Pejuang atau apa saja yang lain sebelumnya duduk dalam kumpulan atau pasukan sama yang dulu menulis dan mengatakan manifesto itu bukan kitab suci.

“Rata-rata saya lihat rakyat melahirkan kekesalan dan ramai dikalangan mereka kali ini bersetuju bahawa mereka memerlukan satu parti yang memang mempunyai satu sejarah pentadbiran yang panjang.

“Mereka dah cuba PH tapi gagal, dan mereka dah cuba PN yang tertubuh atas pengkhianatan orang yang berada dalam PH dulu tapi juga gagal.

“Mereka mempercayai bahawa BN mempunyai pengalaman yang luas dan kita lihat satu keyakinan baru sebab sebelum ini rakyat telah tertipu oleh tawaran yang telah parti-parti itu lakukan,” katanya kepada UMNO Online

Jelas beliau, BN menawarkan kestabilan melalui Ikhtiar BN yang mana ianya adalah berbeza dengan manifesto pihak lawan.

“Baik ianya PH, PN, Muda, Pejuang atau apa saja ianya duduk dalam kumpulan dan pasukan yang sama, dulu yang menulis dan mengatakan manifesto itu bukan kitab suci malah Wan Saiful Wan Jan yang sebelum ini bercakap berdegar-degar telah mengakui bahawa dia penulis kepada manifesto itu sendiri.

“Bagaimana rakyat nak mempercayai apa saja mereka tawarkan. Berbeza dengan BN ‘we walk a talk’. Apa saja yang kita janji insya-Allah kita akan laksanakan.

“Bukannya kita buat sesuatu yang di luar dari kemampuan tapi kita bercakap atas kemampuan dan saya yakin Ikhtiar BN adalah perkara yang boleh dilaksanakan.”

Tegasnya, ini menunjukkan bahawa pihak lawan tak sepakat dan tak yakin dengan parti mereka sendiri.

“Sebab itu saya katakan dan melihat bawa mereka tak pernah menyerang Datuk Hasni Mohammad kerana mereka tahu bahawa Datuk Hasni menteri besar (MB) yang telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan baik sebelum ini.

“Berbeza dengan mereka sebagaimana PH tak boleh nak namakan MB, ada yang sebut Maszle Malik dan dalam PN sampai sekarang tak dapat namakan sesiapa pun sebagai MB… maka kalau itu pun tak dapat buat macam mana mereka nak lihat manifesto mereka terlaksana.

“Ini kerana mereka pun tak yakin siapa yang mampu untuk mewakili mereka bagi menerajui negeri Johor, maka saya mohon rakyat Johor buatlah keputusan yang terbaik kerana mereka perlu berikan nasib mereka untuk tempoh lima tahun.”

PRN Johor pada Sabtu ini melibatkan pertembungan 239 calon di 56 kerusi DUN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.