Tujuh Sebab Pilih BN, Ayuh Undi Kestabilan Masa Depan

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selesai sudah tempoh 14 hari berkempen dan esok adalah hari penentuan dengan pengundi di Johor akan membuat keputusan siapakah yang berhak diangkat untuk menerajui negeri yang penuh dengan potensi dan masa depan.

Katanya, beliau sedar pasti semua telah meneliti latar belakang calon dan tawaran-tawaran dari parti yang mereka wakili.


“Saya doakan yang terbaik untuk semua calon BN dan pastinya untuk masa depan negeri Johor. Ayuh, kita undi ‘Kestabilan Masa Depan’,” katanya dalam laman facebooknya.

Terdahulu beliau memberikan tujuh faktor mengapa BN mesti menjadi pilihan untuk PRN ini.

“Izinkan saya menzahirkan pandangan faktor-faktor dalam segala kekalutan dan kepelbagaian tawaran ini, dan BN adalah tawaran yang terbaik dan relevan.

“Tujuh aspek inilah hanyalah antara sebahagian faktor mengapa kita mesti mempertimbangkan BN sebagai pilihan paling ampuh, teguh dan stabil.”

Berikut ialah tujuh faktor terbabit:

Satu:
BN adalah parti dengan pengalaman dan rekod pentadbiran yang baik. Ada pihak mengatakan semua itu tidak penting. Marilah kita bereksperimen, membuat uji kaji membuat percubaan. Kalau silap, tidak apa. Nanti tukar semua, kata mereka. Benarkah ini pemikiran yang betul? Kita sudah lihat kesannya pasca PRU14. Pengalaman adalah penentu segala-galanya.

Kedua:
BN adalah parti yang tidak menghukum dan berdendam. Apabila kita memerintah, kita tidak mengambil pendekatan seperti PH. Semua yang BN lakukan hendak dihenti, ditangguh dan dihapuskan. Sedangkan semua itu adalah agenda yang berpaksikan kepentingan rakyat. BN tidak akan membuang segala yang baik untuk rakyat, sekali pun ia dimulakan oleh parti lain.
Ingat Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dibatal oleh PH?

Ketiga:
Ini adalah masa untuk kita menyambung semula apa-apa yang tergendala. Banyak yang kita sudah ketinggalan. Ada yang membandingkan kita dengan Singapura. Namun mereka lupa, Singapura menjadi maju dan terkehadapan kerana agenda pembangunannya tidak pernah terbantut dengan drama pertukaran kerajaan yang bersifat eksperimental dan gagal.

Keempat:
BN adalah parti yang prihatin kepada keperluan rakyat. Sebab itulah banyak agenda dan program kita dicedok oleh lawan kita. Hatta manifesto kita juga dijadikan landasan untuk mereka membuat tawaran dan tekad baharu.

Kelima:
BN adalah parti yang tidak akan membuang watak dan keistimewaan Malaysia. BN memahami kepentingan hidup beragama dan berbudaya. BN tidak hadir dengan naratif sesetengah bangsa itu malas atau dengan dakwaan pendidikan agama di sekolah tidak penting atau kursus kenegaraan di universiti hanya menyusahkan kata parti pembangkang.

Keenam:
BN mengetengahkan ramai anak muda. Malah, kira 70% calon BN di Johor adalah calon baharu dan kira-kira 26% daripada keseluruhan calon adalah wanita. Malah, BN menurunkan calon-calon yang inklusif dari pelbagai latar bangsa dan agama. Ciri ini cuba ditonjolkan juga oleh parti dan pakatan lain. Namun tidak ada yang setanding BN.

Ketujuh:
BN adalah parti yang turun ke PRN Johor dengan agenda yang lengkap serta calon MB yang jelas. Kita tidak menunggu sehingga selepas hari mengundi barulah hendak berunding siapa calon MB. Ini adalah perkara kritikal dan besar yang mesti diberi perhatian. Sekiranya mereka tidak yakin dengan seorang pun calon yang layak diangkat sebagai MB seawal kempen, saya tidak kira yang mereka bersedia untuk mentadbir negeri. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.