Simpati Helah Parti Lawan Jatuhkan UMNO/BN Tidak Menjadi – Ahmad Zahid

KULAI, 11 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa simpati beliau kepada parti lawan yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Katanya ini kerana, meskipun pelbagai helah dilakukan oleh mereka untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perkara itu tidak akan memberikan kesan kepada sokongan rakyat kepada parti ini.

“Saya agak bersimpati kerana mereka akan ditolak oleh pengundi negeri ini dan saya yakin trek rekod yang telah diperlihatkan oleh BN akan dapat membantu calon-calon… insya-Allah parti-parti lain tidak begitu relevan untuk membentuk kerajaan di negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama pengundi dan jentera parti di Felda Taib Andak yang turut dihadiri oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Mengulas berkenaan PRN yang menyaksikan hari ini merupakan kempen terakhir beliau berkata usaha untuk memenangkan parti tidak akan tamat sehingga berakhir jam pengundian pada esok.

Beliau yang juga Pengerusi BN juga turut berharap pengundi pertama kali untuk membuat pilihan bijak dengan memilih parti ini bagi merealisasikan masa hadapan yang lebih baik untuk golongan ini.

“Esok merupakan hari besar kita jangan berhenti bekerja hingga tutup peti-peti undi kemenangan calon kita terutama di Bukit Permai ini iaitu Jafni akan menyumbang kepada kestabilan BN Johor demi kepentingan dan kemajuan negeri ini.

“Buat orang muda Johor anda adalah aset kepada negeri ini peluang telah diberikan pangkah di tempat yang betul iaitu BN insya-Allah masa depan akan dijamin di bawah kerajaan BN Johor,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.