PRN Johor: Bung Seru Rakyat Pilih Dengan Bijak

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan pengundi di Johor khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram supaya memilih dengan bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Katanya, BN dan UMNO sudah bersedia menggalas amanah dan tugas memimpin negeri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, pemilihan kerajaan yang baik akan membawa Johor ke landasan yang tepat.

“Kepada pengundi, bukan saja di Tiram malah di seluruh negeri, pada 12 Mac ini anda semua ada satu pilihan iaitu untuk menentukan hala tuju dan masa depan Johor.

“Apabila kita ada peluang, maka ambillah peluang itu. Gunalah kebijaksanaan untuk memilih parti yang baik. Saya mencadangkan dan mengesyorkan kami, BN dan UMNO yang bersedia menggalas amanah dan tugas baik.

“Maka anda semua pengundi Johor wajar memberi perhatian, gunakan akal fikiran yang waras dan pilihlah kerajaan yang baik daripada kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya ketika berucap di perjumpaan bersama pengundi-pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Puteh di sini Khamis malam.

Program yang dihadiri oleh bekas Perdana Menteri yang sangat popular dengan gelaran ‘bossku’ Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak itu berjaya mengumpul lebih dua ribu anak muda.

Bung Moktar berkata rakyat khususnya pengundi muda jangan lagi terpedaya dengan janji dan dakyah pembangkang yang gagal menunaikan manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), juga gagal mewujudkan kestabilan politik sehingga ekonomi negara terjejas kebajikan rakyat terabai.

“Pada PRN kali ini jangan lagi kita tersesat di jalan terang, BN selama ini telah terbukti sebagai sebuah parti yang mampu mentadbir negara dengan baik,” katanya.

Beliau mengakhiri pesanannya dengan meminta rakyat Johor untuk keluar mengundi dan memanfaatkan kuasa yang ada untuk memilih kerajaan yang boleh membela nasib rakyat.

“Jangan persia-siakan peluang yang ada, PRN kali ini masa untuk mengubah masa depan Johor ke arah yang lebih baik,” serunya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.