Pengundi Tahu Siapa Patut Dipilih… Satu Undi BN, Satu Undi Untuk Kestabilan – Andi

JOHOR BAHRU, 11 Mac – “Satu undi untuk Barisan Nasional (BN), bermakna satu sokongan kepada kestabilan masa depan.”

Demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy yang turun padang membantu sebagai jentera bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, biarpun PRN kali ini lebih terbuka dengan penyertaan pelbagai parti namun yang pasti BN adalah terbaik untuk menjadi pilihan kepada rakyat.
“Saya melihat dalam PRN kali ini lebih terbuka dengan penyertaan pelbagai parti termasuk Muda dan Warisan yang ini memberikan perspektif baharu tetapi pengundi tentu tahu siapa yang patut dipilih.

“Ini adalah dengan membuat perbandingan antara parti-parti yang bertanding kerana kesemuanya pernah diberikan peluang untuk mentadbir dan terbukti bentuk pemerintahan dalam era BN lebih baik dan sangat baik berbanding parti-parti lain,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan juga menekankan bahawa kestabilan dan kemakmuran yang ditawarkan oleh BN adalah demi masa depan rakyat.

“Kita lihat dalam fasa-fasa terakhir ini pengundi menyedari dan faham bahawa dengan undi BN boleh mencapai kestabilan politik untuk kemakmuran ekonomi dan insya-Allah dengan perubahan pola pengundian kepada BN maka ia amat positif.

“Pada pandangan saya tempoh terakhir sebelum membuang undi ini amat penting dan momentum sokongan semakin baik terhadap BN.

“Selain itu jentera juga sangat bersemangat maka tidak ada sebab calon BN tidak beroleh kemenangan dalam PRN kali ini.”

Dalam masa yang sama, Andi turut menyeru agar pengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka pada 12 Mac nanti.

“Saya seru turunlah beramai-ramai dan buanglah undi untuk BN. Satu undi untuk BN maka satu undi untuk sokongan kepada kestabilan demi masa depan.

“Turun mengundi pada 12hb ini untuk pastikan kesinambungan politik Johor ke arah yang lebih baik,” katanya lagi.

Dalam kempen PRN ini, Andi membantu di Bahagian Pasir Gudang sebagaimana menjadi kawasan angkat kepada Negeri Sabah. – UMNO Online

Oleh: Ropikah Ahmad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.