Nilailah Mana Terbaik Antara Parti Bertanding… Kembalikan BN Untuk Kestabilan – Bung Moktar

JOHOR BAHRU, 11 Mac – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjelaskan rakyat tentunya lebih bijak membuat pilihan antara parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini ditambah lagi katanya, semua parti yang terlibat dalam PRN ini pernah mendapat mandat menjadi kerajaan.

“Kali ini saya melihat rakyat benar-benar mahu mengembalikan pemerintahan BN (Barisan Nasional). Mereka telah cuba pelbagai kerajaan tapi terbukti hanya BN yang dapat memberikan kestabilan masa depan.
“Rakyat sudah melihat parti-parti yang bertanding ini terlibat dengan pelbagai pentadbiran. Dap sudah, Pas sudah, PPBM sudah, PKR sudah dan BN juga sudah jadi tentunya mereka tahu parti mana yang perlu diberikan mandat pada 12 Mac ini,” katanya kepada UMNO Online.

Jelas Bung Moktar yang turut membantu kempen PRN Johor, pihak pembangkang dilihat ketandusan isu dan lebih kepada kempen berbentuk serangan peribadi.

“Mereka tak ada apa-apa isu, majoriti kempen mereka serang peribadi dan tidak menyampaikan kepada rakyat apa yang mereka boleh lakukan jika dapat membentuk kerajaan.

“Justeru ini kelebihan kepada BN kerana kita mempunyai ruang untuk menerangkan kepada rakyat berkaitan apa yang kita mampu tawarkan kepada rakyat.”

Dalam masa yang sama beliau turut menekankan kepada anggota jentera BN untuk terus melipatgandakan usaha dalam kempen hari-hari terakhir menjelang hari pengundian.

PRN Johor pada Sabtu ini menyaksikan seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi dengan 173,177 daripadanya ialah anak muda berusia 18 hingga 20 tahun, yang akan menunaikan tanggungjawab mereka buat kali pertama. – UMNO Online

Oleh: Ika Ahmad

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.