Jentera, Sayap Parti Tulang Belakang Bawa Kemenangan BN – Shahril

KULAI, 11 Mac – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan meluahkan penghargaan kepada sayap dan jentera parti terutama di Kulai yang memberikan komitmen untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Katanya, meskipun pelbagai ujian dihadapi namun dengan segala gerak kerja yang teratur memberikan suatu kekuatan agar calon-calon yang diketengahkan BN memperoleh keputusan terbaik pada 12 Mac ini.

“Saya ke Kulai meninjau keadaan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada di sini iaitu Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai banyak meluangkan masa bersama rakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pemuda BN yang turut serta.

“Saya melihat tenaga yang ditunjukkan oleh Pemuda BN di Kulai ini tiada tandingan kerana walaupun ada cabaran-cabaran tertentu yang dihadapi oleh mereka tetapi cukup bersemangat membantu memastikan kemenangan kerusi-kerusi di Parlimen Kulai.

“Hujung-hujung kempen ini kerana jangan ada sebarang tanggapan bahawa sayap-sayap atau jentera BN secara keseluruhannya tidak bersungguh-sungguh sebab saya nampak bila kita menang nanti adalah disebabkan gerak kerja, pengorbanan dan keringat yang dibuat oleh mereka ini,” katanya ketika ditemui ketika berkunjung ke UMNO Bahagian Kulai petang Khamis.

Terdahulu Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turut mengingatkan anggota jentera parti di pelbagai peringkat untuk terus waspada dengan kempen parti lawan menjelang hari pengundian, Sabtu ini.

Katanya, meskipun dari segi pengisian, keupayaan dan keyakinan Barisan Nasional (BN) mendahului namun ia tidak boleh dianggap selesa.

Pada PRN ini, BN Kulai mempertaruhkan calon Kenny Shen Poh bagi DUN Senai, S Suppayah (Bukit Batu) dan Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai). – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.