Jangan Keliru, Pihak Lawan Cuba Tiru… Teruslah Pilih BN, Biru Sebenar – Noraini


JOHOR BAHRU, 11 Mac – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap agar para pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak keliru dengan cara kempen yang digunakan oleh pihak lawan sebaliknya terus fokus kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini kerana kempen yang digunakan parti lawan selain meniru BN, mereka juga cuba untuk mengelirukan dengan seolah-olah warna sama yang digunakan tapi pilihlah biru sebenar.

“Pesanan saya kita mahukan satu kerajaan yang stabil dan ia hanya ditawarkan oleh BN, maka saya berharap pengundi-pengundi tidak keliru dengan apa yang pihak lawan lakukan.

“Insya-Allah saya mempunyai keyakinan yang cukup besar kepada pengundi-pengundi untuk memilih BN dan apa juga yang saya harapkan adalah pengundi memberi peluang kepada BN berdasarkan kepada rekod-rekod terdahulu kerana BN memberi satu kerajaan yang cukup stabil.

“Kita perlu mempunyai kerajaan yang stabil dan kerajaan stabil ini hanya boleh ditawarkan oleh BN. Insya-Allah BN akan memberikan yang terbaik, menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat serta sentiasa mendengar suara rakyat,” katanya yang juga Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong kepada UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama, Noraini memaklumkan berkaitan gerak kerja jentera parti khususnya Wanita UMNO.

“Saya melihat gerak kerja Wanita makin sampai ke penghujung dan apa saja usaha kita adalah untuk memenangkan calon-calon BN termasuk 14 calon Wanita yang antaranya dua calon Puteri.

“Kerana itulah kita bekerja kuat di tempat-tempat yang diwakili oleh calon-calon BN agar BN mendapat mandat selepas hari pengundian nanti,” katanya lagi.

PRN Johor pada Sabtu ini melibatkan pertembungan 239 calon di 56 kerusi DUN.

Seramai 2,597,742 pengundi adalah layak mengundi dengan 173,177 daripadanya adalah anak muda berusia 18 hingga 20 tahun, yang akan menunaikan tanggungjawab mereka buat kali pertama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.