Jadi Kerajaan Kena Ada Visi, Bukan ‘Kelentong’ Rakyat – Najib

TEBRAU, 11 Mac – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berharap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini rakyat dapat menolak parti yang hanya bersandiwara dalam membawa perjuangan politik mereka.

Katanya, ini kerana mentadbir negeri khususnya di Johor ini memerlukan perancangan yang teliti dan ianya memerlukan sebuah parti berpengalaman dalam melakukan tadbir urus.

“Kalau hendak jadi kerajaan mesti ada visi jangan cakap kelentong… macam-macam dia bohong tapi bila kita sudah kena kencing biasa hancing itu bau dia masih ada lagi.

“Jangan buat silap macam dahulu undi hanya satu tapi dapat tiga menteri besar kita tak mahu itu terjadi kali ini biar calon menteri besar dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hasni Mohammad diberi lima tahun sekurang-kurangnya untuk tadbir negeri.

“Saya hendak negeri Johor ini jadi ‘turning point’ dalam politik tanah air menang jatuh perkara biasa tapi paling penting boleh bangun semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah bertemu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram yang turut dihadiri Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang di sini Khamis malam.

Mohd Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan malah berkata pilihan raya ini adalah peluang bagi mendirikan sebuah kerajaan yang kukuh sekaligus menjamin kemajuan dan kebajikan rakyat.

Mengimbas kembali beliau memaklumkan ketika pentadbiran BN pelbagai agenda telah dirangka bagi membuka peluang kepada pelbagai lapisan rakyat termasuk golongan muda.

Bagaimanapun katanya perkara itu telah dirobek apabila kejatuhan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) lalu yang menyaksikan pelbagai pembangunan telah tergendala di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Kita kena bangkit kerana mereka semua adalah penipu… atok suruh rakyat ikat perut tapi berbeza apabila kerajaan ditadbir saya suatu ketika dahulu yang menjaga perut rakyat.

“Saya hendak buat Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) tapi atok tangguhkan, datang abah batalkan pula sebab dia tak sayang Johor kalau ada ianya bakal membuka beribu-ribu peluang pekerjaan untuk anak muda ekonomi,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.