Gara-Gara Johor Tidak Stabil Pasca PRU14,  Pelabur ‘Angkat Kaki’ Ke Pahang – Wan Rosdy

LEDANG, 11 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap Barisan Nasional (BN) diberi mandat oleh pengundi esok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam usaha mengembalikan semula kecemerlangan negeri berkenaan.

Menurut beliau berbanding Pahang sebelum kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU)  yang lalu di Johor, negeri tersebut mencatatkan pelaburan yang cukup tinggi malah menjadi salah satu tumpuan pelabur.

Namun katanya keadaan itu berubah selepas PRU lalu apabila kebanyakan pelabur termasuklah daripada Singapura khususnya datang ke Pahang gara-gara ketidakstabilan yang berlaku di negeri selatan tanah air itu.

“Harap pengundi buatlah pilihan  tepat dengan mengundi calon BN dan kenapa saya katakan perlu membuat pilihan tepat…kerana kita dapati selepas kekalahan BN di Johor pada PRU-14 yang lalu kita dapati ketidakstabilan politik di Johor dan kita boleh lihat apa kesannya.

“Pelabur-pelabur tidak akan melabur ke negeri Johor dan ini telah terbukti kerana Johor ini adalah lazimnya menduduki tempat teratas berbanding dengan negeri lain. Pelabur memang suka datang ke Johor kerana prasarana dan infrastruktur yang baik serta banyak kemudahan terutama sekali pelabur daripada Singapura.

“Dan ini terbukti dengan jelas kerana angka tidak boleh berbohong. Selepas dengan kekalahan lalu di Johor ekonominya menguncup. Apabila menguncup bermakna kadar pengangguran akan tinggi dan anak-anak yang belajar dan ada kelulusan profesional dan sebagainya lagi mungkin peluang bekerja di Johor sangat tipis kerana ekonominya telah mula menguncup,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Kata beliau lagi yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, ketidakstabilan menyebabkan pelabur mula lari ke negeri lain khususnya di Pahang.

“Pahang sasaran kita RM5 bilion tahun lepas  dan kita dapat RM10.5 bilion. Saya sendiri terkejut kerana peningkatan 100 peratus tetapi apabila saya lihat kembali pelabur-pelabur itu datang daripada Singapura.

“Saya tanya mereka kenapa tidak melabur di Johor sebab boleh menjimatkan kos, masa dan sebagainya. Namun mereka katakan jauh itu bukan satu faktor tetapi yang paling penting adalah kestabilan politik.

“Jadi kalau tidak ada kestabilan politik dapat kita lihat dengan jelas pelabur mula lari dan perkara ini jika tidak diberikan mandat kepada rakyat dengan kadar segera ianya akan menjadi lebih teruk pada Johor. Saya percaya jika BN diberi mandat kita akan kembalikan kecemerlangan ekonomi dan poitik negeri Johor,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.