BN Sekian Lama Amal Rentas Politik, Terbaik Buat Pengundi

MERSING 11 Mac – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan berlakunya perpecahan terbesar dalam sejarah membabitkan parti-parti politik Melayu di negara ini sekaligus menyaksikan pertembungan antara UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS, PKR serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan sebaliknya parti yang mewakili kaum Cina, DAP kekal satu tanpa berpecah dan tersenyum melihat perpecahan Melayu.

Hakikatnya, jelas beliau rakyat terutama di Johor harus menyedari bahawa kemunculan parti-parti Melayu terbabit adalah serpihan UMNO.

“Ekoran kecewa tidak lagi berada dalam UMNO, maka ditubuhkan parti Melayu baharu dan kembali melawan UMNO parti yang disertai mereka sebelum ini.

“Justeru, pada PRN Johor kali ini, rakyat terutama pengundi di negeri itu perlu memilih parti asas ataupun asal yang telah berjuang sekian lama demi kemerdekaan dan kemakmuran negara.

“UMNO telah lama mengamalkan dasar rentas politik iaitu melalui Perikatan dan Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya mentadbir negara selama lebih 60 tahun dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Kata beliau lagi rakyat telah pun memberikan 22 bulan kepada Pakatan Harapan (PH), tetapi politik negara tidak stabil selain selama 17 bulan pula kepada Perikatan Nasional (PN), juga tidak menjamin apa-apa.

“Justeru, rakyat di Johor tentunya bijak menilai prestasi tiga kerajaan berbeza dan tahu parti yang mana yang akan mereka pilih pada PRN Johor kali ini.

“UMNO dan BN telah pun terbukti sebagai sebuah parti dan gabungan yang boleh dan telah membawa kestabilan negara dulu kini dan selamanya,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.