Mesej BN Kestabilan Masa Depan, Tidak Berkempen Hina Dan Tanam Kebencian

JOHOR BAHRU, 10 Mac – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata mesej BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ialah kestabilan masa depan.

Ujarnya, BN tidak berkempen memaki hamun, menghina atau menanam kebencian.

Menurutnya lagi, Johor perlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mengembalikan semula kecemerlangannya di bawah kepimpinan BN.

“Ikhtiar BN Johor seperti yang terkandung dalam manifesto yang dilancarkan adalah komitmen yang tidak bersandarkan kepada janji-janji kosong.

“Moga usaha ini mendapat sokongan rakyat Johor untuk memilih BN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya juga, dalam tempoh 48 jam lagi sebelum rakyat negeri itu keluar mengundi, beliau sempat melawat dan meninjau suasana kempen di beberapa tempat.

“Johor adalah sebuah negeri yang besar. Perjalanan dari satu daerah ke daerah memakan masa yang panjang.

“Tetapi ia sangat ceria dengan bendera dan poster calon-calon dan parti-parti yang bertanding,” kata bekas Menteri Besa Perak itu.

Tambahnya juga, dari Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat BN Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Ahli Dewan Tertinggi BN, Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan komponen BN serta pimpinan Friends of BN semuanya memberikan dokongan yang kuat berada di lapangan membantu calon-calon BN.

“Di peringkat jentera kempen BN amat baik sekali dari segi kerjasama dan semangat perpaduan di kalangan mereka.

“Ia turut dibantu oleh rakan-rakan dari negeri-negeri dan anggota-anggota menteri BN serta semua peringkat ahli,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.