Pembukaan Sempadan Negara Mampu Pulihkan Ekonomi Negara, Bung

KOTA KINABALU, 9 Mac – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin menyokong syor pembukaan semula sempadan negara dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Katanya langkah ini akan memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutamanya dalam sektor pelancongan antara sektor yang boleh menyumbang kepada pendapatan negara.

Menurut beliau, kerajaan perlu mencontohi strategi serta pendekatan yang telah diambil oleh negara-negara lain seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya di bangunan Parlimen pada Selasa.

Ismail dalam sidang media tersebut memberitahu sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April di mana menurut beliau langkah itu selari dengan perancangan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bertujuan untuk merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Menurut Bung yang perkara ini telah beliau bangkitkan dalam ucapan perbahasan menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Isnin yang meminta kerajaan khususnya kementerian yang terlibat untuk mengkaji perkara ini demi kebaikan terutamanya untuk memulihkan ekonomi dan rakyat yang sekian lama terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.

Bung berkata Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

Bagaimanapun Bung turut mengingatkan agar pembukaan semula sempadan negara perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko, selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara” katanya.

Bagaimanapun, Bung menyeru agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan harian bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.