Kejayaan Dikecapi Felda Hasil Perjuangan BN – Ismail Sabri

MERSING, 9 Mac – Kejayaan yang dikecapi Felda adalah hasil perjuangan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dari dahulu hingga kini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Felda juga tidak akan wujud tanpa perjuangan seorang daripada pemimpin BN iaitu Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang bertujuan membasmi kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar terutama orang Melayu.

“Agenda tersebut diteruskan oleh kepimpinan BN selepas itu hingga ke hari ini… saya juga seorang daripada pemimpin BN.

“Jadi, sebab itulah tuan-tuan dan puan-puan, kita (mahu) berterima kasih seperti orang lain tetapi yang pentingnya, kita sedar kejayaan Felda adalah hasil perjuangan kepimpinan BN daripada dahulu hingga kini,” katanya semasa berucap pada Majlis Transformasi Perladangan Felda di Balai Raya Felda Endau hari ini yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Saddique dan Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

Ismail Sabri juga berkata banyak pihak mendakwa mereka bertanggungjawab dan sayang kepada Felda namun terdapat bukti yang menunjukkan perbuatan mereka tidak seperti yang diperkata.

“Kalau nak kata orang lain sayang kepada Felda, ada bukti bahawa mereka tidak seperti apa yang mereka sebutkan. BN lah yang sayang kepada Felda dan peneroka,” kata beliau. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.