Bekas Ahli Mahu Sertai Semula UMNO Perlu Lalui Tapisan

JOHOR BAHRU, 9 Mac – Bekas ahli UMNO yang ingin menyertai semula parti itu perlu melalui beberapa peringkat tapisan, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya beliau menghormati sebarang permohonan untuk memasuki UMNO tetapi ia perlu melalui proses sebagaimana dalam peraturan dan perlembagaan parti itu.

“Saudara Rosleli Jahari ini adalah sahabat lama saya ketika dalam Pemuda. Alhamdulillah, beliau mempunyai kesedaran untuk kembali ke pangkal jalan dan saya lihat beliau juga turun membantu calon kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama ahli parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan bekas wakil rakyat Bersatu bagi DUN Johor Lama itu yang mengumumkan keluar parti dan mahu menyertai semula UMNO.

Beliau berkata UMNO turut mengalu-alukan keberadaan Rosleli dan bekas Ketua Bahagian Bersatu Mersing Laili Yusof dalam parti itu.

“Saya yakin jika lebih ramai lagi ahli Bersatu seluruh Johor dan seluruh Malaysia (ingin menyertai semula UMNO) maka pintu UMNO sentiasa terbuka. Biarpun kita tahu kita pernah terguris namun saya harap kawan-kawan saya dalam UMNO juga berlapang dada dan berfikiran terbuka,” katanya yang berharap sikap dan cara pemikiran bekas ahli terbabit berubah serta tidak akan menjadi duri dalam daging di dalam UMNO.

Terdahulu, ketika ditemui selepas beramah mesra bersama dengan pengundi di Bilik Gerakan Parlimen Iskandar Puteri, Gelang Patah yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Kota Iskandar Pandak Ahmad dan DUN Skudai Lim Soon Hai, Ahmad Zahid berkata keputusan kerajaan membuka semula sempadan negara adalah penting bagi melonjakkan kembali sektor pelancongan serta kemasukan pelaburan langsung asing.

Pengerusi BN itu berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pembukaan pintu masuk negara cukup penting kerana sektor pelancongan merupakan yang ketiga terpenting dari segi penjanaan ekonomi negara.

“Infrastruktur pelancongan di negara kita adalah antara yang terbaik di rantau ASEAN dan ia mempunyai produk pelancongan yang pada hemat saya mampu menggamit semula pelancong (asing),” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan sempadan negara akan dibuka semula mulai 1 April ini.

Ismail Sabri dilaporkan berkata keputusan itu adalah selari dengan perancangan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ dan dijangka merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata pemilihan Datuk Hasni Mohamad sebagai calon Menteri Besar Johor BN menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu keputusan parti secara keseluruhan dan tidak bersikap individu.

“Keputusan saya adalah sebagai seorang yang demokrat dan bukan keputusan peribadi, ia adalah keputusan parti. Kita bawa kepada majlis tertinggi, perhubungan dan biro politik UMNO negeri sebab Datuk Hasni mempunyai rekod prestasi yang terbaik,” katanya.

Beliau juga berkata tindakan parti lawan yang belum mengumumkan calon Menteri Besar masing-masing membuktikan ketidakyakinan mereka untuk memenangi PRN Johor.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Zahid turut menyifatkan dakwaan Bersatu bahawa beliau berhasrat meletakkan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai calon Menteri Besar Johor sebagai sekadar ‘propaganda murahan’ parti itu bagi menutup kegagalan mereka mengemukakan calon bagi jawatan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.