Tanpa Pas, Rakyat Johor Tetap Islami Sebagai Pemacu Kemajuan – Khaled

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhujah bahawa “kurang kesedaran politik Islam di Johor adalah punca Pas tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu“.

Menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang ditolak oleh rakyat Johor ialah kejumudan Pas dan bukan politik Islam.

Bidas bekas Menteri Besar Johor itu, yang tidak disukai oleh bangsa Johor ialah Pas yang menunggang agama bukan Islam yang syumul.

“Politik Islam pada rakyat Johor ialah Johor yang Islami. Islam sebagai pemacu kemajuan dan Islam yang mengajak orang Johor berlumba-lumba melakukan amal soleh.

“Bukan politik Islam dengan masjid imam dua imam, fatwa kafir mengkafir dan segala kejatuhan talak jika tidak menyokong Pas. Yang pasti Johor bukan negeri paling ramai orang miskin di Malaysia seperti Kelantan,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Begitu juga ujar Khaled, yang nyata pembangunan Johor dipacu pelaburan asing, perdagangan, ekonomi rentas sempadan dan pelbagai nilai yang progresif.

“Bukan negeri tanpa bekalan air bersih, rakyat berhijrah keluar kerana tiada pekerjaan dan kerajaan diurus dengan wang ehsan.

“Dan bila dapat sahaja wang ehsan, keutamaan politik Islam Pas ialah ‘Mercedes’ untuk Exco,” bidasnya.

Tambahnya juga, orang Melayu akan terus mundur jika politik Islam Pas jadi pilihan.

“Kerana mereka bukan menghidup-hidupi Islam, tetapi mencari kehidupan, kemewahan dan jawatan dengan Islam,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.