Bossku Tak Bertanding PRN, Pihak Lawan Hilang Modal Main Sentimen Politik

JOHOR BAHRU, 8 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan parti lawan bimbang dengan sambutan yang diterima oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sehinggakan mereka berulang kali menyebut nama bekas Perdana Menteri terutama menjelang tarikh penting seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Katanya, mereka kehilangan modal untuk memainkan sentimen politik ekoran calon menteri besar yang diketengahkan oleh BN, Datuk Seri Hasni Mohammad adalah pemimpin yang bebas daripada isu negatif.

“Najib ini sebagai salah seorang tukang kempen kita yang utama itu sebab mereka memberikan tohmahan kepada dirinya antara lain juga kerana calon menteri besar kita ini seorang yang tidak ada isu terhadap dirinya.

“Jadi mereka mula menembak ke sana ke mari orang lain yang tidak bertanding di negeri Johor ini pun dijadikan ancaman untuk mereka.

“Saya kira menteri besar kita adalah poster boy yang cukup menarik kepada rakyat dan juga pengundi… mereka khuatir sebab itu apabila mereka muflis isu tidak ada cerita lain maka mereka tembak orang-orang lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Jelas ahli Parlimen Pontian itu lagi, situasi tersebut adalah perkara biasa dalam politik malah ianya tidak memberikan sebarang kesan kepada perjalanan kempen pada kali ini.

Bagaimanapun tambah Ahmad, beliau melihat fenomena ini sebagai suatu yang luar biasa kerana sambutan yang diterima oleh ahli Parlimen Pekan yang trending dengan gelaran bossku itu merangkumi pelbagai lapisan masyarakat dan agama.

“Bukan hanya masyarakat Melayu yang menjerit bossku malah orang Cina dan India termasuk anak-anak muda juga mengemerumi dan minta bergambar dengan beliau.

“Ini merupakan satu fenomena yang amat menarik sehinggakan ada yang mengatakan bahawa beliau adalah tokoh politik paling popular pada saat ini itu sebab beliau ditembak oleh semua senapang termasuk pihak pembangkang,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.