Mana Ikrar PN Kekang Lompat Parti? Soal Khaled

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menimbulkan persoalan buat Perikatan Nasional (PN) apakah pendirian mereka terhadap amalan melompat parti.

Soalnya lagi, apakah cadangan dan strategi PN untuk menghentikan amalan tidak beretika tersebut kerana di dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor langsung tidak disentuh mengenainya.

“Satu perkara yang mendatangkan kemarahan dan rasa jelik rakyat ialah amalan lompat parti. Ia antara punca pertukaran demi pertukaran kerajaan serta ketidakstabilan politik.

“Malangnya, dalam manifesto mereka untuk PRN Johor, PN tidak langsung mengemukakan sebarang tawaran bagi memastikan wujud kestabilan politik terutamanya dalam soal amalan lompat parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas bekas Menteri Besar Johor itu, ia sangat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menyatakan dengan jelas di dalam manifestonya untuk memerangi amalan lompat parti.

“BN nekad untuk mengusahakan Enakmen Anti Lompat parti,” tegasnya.

Justeru berkemungkinan katanya, cadangan mewujudkan kestabilan dengan memperkenal undang-undang anti lompat parti ini mungkin tidak menarik kerana PN memang merancang untuk terus memancing Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas PRN Johor.

“Tabiat memancing memang sukar dibuang,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.