Agenda ‘Najib, Najib, Najib’… Tun M Dan Pejuang Pendendam, Tiada Agenda Lain

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah membidas parti Pejuang dan pengasasnya Tun Dr Mahathir Mohamad yang begitu tebal sifat dendam kepada lawannya terutama kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, apa yang jelas dilihat di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini matlamat Pejuang bertanding lebih kepada mahu menyekat apa yang digelarnya ‘kluster mahkamah’ dan beragenda benci Najib.

“Proses di mahkamah sedang berjalan. Jadi biarlah proses itu berjalan. Analisalah setiap ucapan Tun Mahathir (Tun M), sewaktu melancar manifesto Pejuang dan beberapa ucapannya yang lain “Najib, Najib, Najib”. Itulah yang sering diulangnya.

“Dendam dan amarahnya sukar ditutup. Maka, kalau beginilah keadaannya dilihat Pejuang tiada agenda jelas untuk Bangsa Johor yang boleh diyakini. Keadaan ini akan merugikan rakyat dan negeri Johor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong berharap rakyat yakin bahawa parti politik yang diasaskan kerana dendam jelas tiada matlamat.

“Apakah pengundi Johor mahu memperjudikan masa depan rakyat dan negeri Johor kepada Pejuang?

“Realitinya, Pejuang sukar membentuk kerajaan bersendirian. Jika Pejuang tidak boleh bersendirian maka persoalannya dengan parti mana akan dijadikan gabungan?

“Apakah Dap? Amanahkah? Mungkin PKR? Warisankah? atau MUDA?” soalnya.

Seterusnya ulas Dr Shamsul, sekiranya ia terjadi, bermakna era 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) akan berulang dan akhirnya Bangsa Johor rugi sekali lagi.

Kerana itu serunya, undilah BN kerana ia pilihan terbaik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.