Ahli Parlimen A. Setar Chan Ming Kai Tak Sepatutnya Persoal Hal Ehwal Zakat Di Parlimen

ALOR SETAR, 3 Mac – Tindakan Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai bertanyakan soal hal ehwal zakat di negeri Kedah di Parlimen jelas menunjukkan beliau ‘buta’ Perlembagaan Persekutuan, serta tidak tahu tentang bidang kuasa Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Bidas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, sebagai Ahli Parlimen, Chan ming Kai patut tahu tentang kandungan Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Untuk makluman Chan Ming Kai, wang hasil kutipan zakat bukanlah hak milik mana-mana kerajaan atau rakyat Malaysia, sebaliknya adalah ianya adalah hak milik penuh Baitul Mal yang diuruskan Lembaga Zakat Negeri untuk maslahat kepentingan umat Islam yang layak di negeri itu.

“Adalah tidak wajar bagi Chan Ming Kai untuk mempersoal urusan zakat di negeri Kedah, dan beliau patut diajar tentang soal zakat dan hal ehwal agama Islam yang terletak di bawah kuasa DYMM Sultan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, memandangkan Ahli Parlimen Alor Setar itu bukan beragama Islam, seharusnya beliau tidak mencampuri urusan berkaitan zakat di negeri Kedah.

“Kita pun selama ini tidak pernah persoalkan tentang hal ehwal wang kesatuan dan kebajikan agama lain, bukan?” soalnya.

Justeru itu, Syed Johan Rizal menyarankan supaya Chan Ming Kai bertandang ke Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sendiri untuk belajar soal zakat dan didoakan agar beliau mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam setelah mengetahui betapa indahkan konsep zakat di dalam Islam. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.