Sambut Baik Urusan Rasmi Guna Bahasa Melayu, Selaras Perlembagaan UMNO – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyambut baik urusan rasmi negara yang menggunakan Bahasa Melayu.

Katanya, rakyat wajar bertutur dengan baik sebagai bahasa rasmi dan utama.

“Ia adalah selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 3.6 iaitu menjamin Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi,” katanya dalam hantaran menerusi Twitternya berkaitan hal terbabit.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menyokong usaha untuk mempelajari bahasa asing.

“Pada ketika yang sama kita juga wajar mempelajari bahasa utama dunia seperti Inggeris, Chinese, Tamil, Arab, Jepun, Perancis, Spanish, Russian, German,” katanya.

Dilaporkan, Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Lebih dari itu, Ismail Sabri telah menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat dua hala dan sidang media bersama, ketika melakukan lawatan rasmi ke Brunei serta Kemboja sebelum ini dan yang terbaharu, Thailand. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.